Thursday, June 16, 2011

kesedihan Saidatina Aisyah R.A

In the name of Allah,Most Gracious Most Merciful
Bismillahirahmanirahim...

Daripada Aisyah r.a., beliau berkata (menceritakan) bahawa Rasulullah s.a.w. apabila ingin keluar (bermusafir), baginda akan membuat undian di kalangan isteri-isterinya. Maka sesiapa yang keluar undiannya, maka dialah yang akan keluar bersama dengan Rasulullah s.a.w.. Satu kali, ketika baginda ingin keluar dalam satu peperangan[2], aku berjaya mencabut undian, (dan akulah yang boleh pergi bersama Rasulullah s.a.w.). Lalu aku pun keluar bersama baginda dan musafir ini berlaku setelah turunnya ayat hijab (larangan lelaki daripada melihat kepada perempuan, kerana sebelum ini tidaklah dilarang). Aku dibawa dengan haudaj ( tempat yang biasanya diletakkan perempuan di dalamnya dan ia diikat di atas belakang unta) dan aku diletakan di situ. Lalu kami keluar (bersama Rasulullah s.a.w. dan para sahabat panglima perang baginda) sehinggalah apabila selesai peperangan, dan kami pun balik ke Madinah.
Clipboard01
Perjalanan Pulang
Dan pada satu malam, setelah hampir dengan Madinah, ( kami berhenti rehat), dimaklumkan bahawa (rombongan) kita akan bergerak (pulang). Tatkala mereka sibuk saling memberitahu untuk bergerak, aku pula berjalan (berseorangan) pergi berjauhan dengan para tentera (untuk qada hajat). Setelah aku selesai, aku pun kembali, tiba-tiba aku dapati manik-manik Azfar[3] rantai leherku telah putus (dan hilang). Lalu aku pun pergi sekali lagi ke situ untuk mencari rantaiku itu. Dan kumpulan yang berjalan bersamaku pun mula mengangkat haudajku, dan mereka pun mula mengenderai unta yang ku naiki. Mereka menyangka aku sudahpun berada di dalamnya. Dan kaum wanita pada masa itu (biasanya) kurus-kurus, tidaklah berat dengan lemak, kerana mereka sentiasa makan sedikit sahaja. Kerana itulah mereka tidak perasan (ketiadaanku) semasa mereka mengangkatkan haudaj tersebut. (Tambahan lagi) aku hanyalah seorang budak. Mereka pun menggerakkan unta dan mula berjalan. Setelah para tentera meneruskan perjalanan, aku pun jumpai rantaiku itu. Setelah aku menjumpainya, aku pun kembali pergi ke tempat tentera tadi, dan aku dapati mereka semua sudah berangkat. Tidak ada seorangpun yang memanggilku dan tidak ada seorang pun yang akan menyahut panggilanku. Lalu aku pun duduk berada di kawasanku tadi (tempat untaku dan haudaj) dengan harapan bahawa mereka akan perasan ketiadaanku dan mereka akan kembali menemuiku. Tatkala aku berada di situ keseorangan, aku terasa terlalu mengantuk, lalu aku pun tertidur.

A_Dark_Starry_Night_Wallpap
Safwan bin Muattal Mengambil Aisyah Dan Bermulanya Fitnah
Safwan bin Muattal as-Sulami az-Zakwani[4] pula merupakan askar yang terlewat dan berjalan di belakang para tentera. Dan tatkala beliau sampai di kawasanku, beliau nampak bayangan orang yang sedang tidur, lalu dia pun datang, dan setelah melihatku dia mengenaliku. Ini kerana dia pernah melihatku sebelum turunnya suruhan berhijab. Setelah beliau cam diriku, beliau (terkejut seraya) mengucapkan istirja’ (Inna lillahi Wa Inna Ilaihi Raji’un) dan aku terjaga (dari tidurku) kerana mendengar istirja’nya itu. Lalu aku segera menutup mukaku dengan kain penutup mukaku. Demi Allah, dia tidak bercakap denganku walau sepatah dan aku pula tidak mendengar satu kalimah pun (dari mulutnya), kecuali kata-kata istirja’nya sahaja. Lalu beliaupun menarik untanya mendekatiku dan mendudukkannya (untuk menyenangku naik tanpa perlu menyentuhku), dan aku pun naik (menunggangnya). Safwan pun mula berjalan (kaki) mengheret untanya sehinggalah kami sampai di kawasan perhentian tentera di waktu panas terik matahari.
(Aisyah meneruskan ceritanya lagi dengan katanya): Lalu dengan sebab itu binasalah orang yang binasa (dengan menyebarkan fitnah bahawa aku berzina dengan Safwan) dan orang yang mengepalai fitnah besar ini ialah Abdullah bin Ubai bin Salul.
Aisyah Ditimpa Demam Setelah Sampai Di Madinah
Setelah aku sampai di Madinah, aku ditimpa demam selama sebulan, dan orang ramai pula heboh dengan cerita yang dibawa oleh pendusta-pendusta itu, dan aku pula sedikitpun tidak mengetahui fitnah tersebut. (Semasa demam itu, Aisyah berada di rumah Rasulullah s.a.w. dan dijaga oleh emaknya). Cuma yang menghairankan aku ialah semasa demamku ini, aku tidak melihat lemah lembut Rasulullah s.a.w. (sikap kebiasaan baginda). Baginda hanya masuk menjengokku, memberi salam dan bertanya khabar sahaja, dan kemudian baginda akan beredar. Itu sahaja yang menghairankanku.
Aisyah Mula Mengetahui Fitnah
Dan aku sedikit pun tidak mengetahui fitnah tersebut, sehingalah aku beransur sembuh (belum sembuh sepenuhnya) aku keluar bersama Ummu Mistah menuju ke Manasi’ iaitu (tempat yang biasa digunakan untuk qada hajat). Dan biasanya (orang pada masa itu) tidak datang ke situ kecuali pada sebelah malam, dan cerita ini sebelum adanya tandas berdekatan dengan rumah. Kami pada masa itu samalah seperti orang arab kuno dulu yang keluar qada hajat jauh dari kawasan rumah dan tidak suka disediakan tandas di kawasan rumah. Lalu aku keluar bersama Ummu Mistah dan dia ialah anak perempuan Abu Ruham bin Abd Manaf, dan emaknya pula ialah anak perempuan Sohkr bin Amir iaitu (emaknya adalah) emak saudara Abu Bakar. Anaknya pula ialah Mistah bin Usasah. Setelah sampai ke situ, Ummu Mistah terjatuh dan dia berkata: Celaka Mistah. Lalu aku berkata: Alangkah buruknya perkataanmu. Adakah kamu ingin mencela orang yang pernah masuk perang Badar? Dia menjawab: Aduhai Aisyah! Adakah kamu tidak mengetahui apa yang dia telah katakan? Aku menjawab: apa pula yang dia sudah katakana? Lalu dia mula menceritakan fitnah yang dilemparkan kepadaku oleh para pendusta itu. Dan bertambah buruk pula demamku dengan sebab cerita yang aku baru dengar itu.
Aisyah Meminta Keizinan Untuk Kembali Ke Rumah Orang Tuanya
Setelah aku pulang ke rumah, dan Rasulullah s.a.w. masuk menjengukku. Baginda memberi salam dan bertanya khabar, aku berkata: Adakah kamu izinkan aku kalau aku ingin pulang ke rumah kedua ibu bapaku? Sebenarnya aku meminta demikian untuk mencari kepastian daripada kedua ibu bapaku mengenai fitnah tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w. izinkanku. Setelah aku sampai ke rumah orang tuaku, aku bertanya ibuku: Wahai ibu, apakah yang orang ramai sedang perkatakan? Ibuku menjawab: (dia sudahpun mengetahui tentang fitnah tersebut) Wahai anak kesayanganu, sabarlah dan janganlah benda ini menyusahkanmu. Mana-mana perempuan cantik yang bermadu, dan dia pula disukai oleh suaminya, sudah tentu ramai orang akan mengatanya. Aku menjawab: Subhanallah. Adakah orang ramai sudah bercakap tentangnya? Air mataku pada malam itu tidak putus-putus dan aku tidak mampu tidur kerana menangis sampai ke pagi.
Rasulullah s.a.w. Berbincang Dengan Para Sahabat Mengenai Aisyah
Rasulullah s.a.w. pula memanggil Ali bin Abu Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan mengenai (buruk baik jika baginda) menceraikan isteri baginda. Ini kerana lambatnya turun wahyu dalam masalah ini. Usamah bin Zaid menyatakan pendapatnya berdasarkan apa yang beliau tahu mengenai kebaikan ahli keluarga Rasulullah dan beliau menganggap bahawa sebenarnya keluarga baginda bebas daripada tuduhan tersebut. Beliau berkata: Kami tdak mengetahui tentang keluargamu wahai Rasulullah melainkan yang baik sahaja. Ali pula (untuk menghilangkan keresahan baginda dengan fitnah tersebut) berkata: Wahai Rasulullah, Allah sesekali tidak akan menyempitkanmu, ramai lagi wanita selain Aisyah. Dan jika kamu bertanya jariahnya (khadam perempuan Aisyah) nescaya dia akan bercakap benar denganmu. Rasulullah s.a.w. pun memanggil Barirah (khadam Aisyah) dan baginda bersabda bertanya: Wahai Barirah, adakah sesuatu yang kamu ragui mengenai Aisyah? Barirah menjawab: Tidak. Demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak pernah melihat pada Aisyah satu perkara pun yang meragukanku. Cumanya aku menganggap beliau adalah seorang budak yang masih mentah yang boleh tertidur ketika menjaga tepung keluarganya, lalu datanglah binatang yang memakannya[5]. (Maksud Barirah ialah Aisyah sedikit pun tak terlintas melakukan perkara seperti yang disebut oleh para penyebar fitnah itu).
Rasulullah s.a.w. Terasa Dengan Fitnah Tersebut
Lalu Rasulullah s.a.w. bangun pada masa itu menuntut bela untukku terhadap Abdullah bin Ubai bin Salul. Baginda bersabda: siapakah di kalangan kamu yang ingin menolong menuntut bela bagiku terhadap seorang lelaki yang telah sampai kepadaku kejahatannya terhadap isteriku? Demi Allah, aku tidak mengetahui tentang isteriku kecuali perkara yang baik. Dan mereka juga (para pendusta) menyebut seorang lelaki yang aku tidak mengetahui mengenainya melainkan kebaikan sahaja[6]. Dan dia tidak pernah masuk kepada isteriku melainkan dengan bersamaku.
Aus Dan Khazraj Bertengkar Di Hadapan Rasulullah s.a.w.
Lalu bangunlah Saad bin Muaz, iaitu seorang Ansar dan berkata: Wahai Rasulullah, aku sanggup menuntut bela untukmu. Kalaulah dia di kalangan orang Aus, aku akan penggal lehernya, dan jika di kalangan saudara kami orang Khazraj, kamu suruh saja kami, nescaya kami akan laksanakannya. Lalu bangunlah Saad bin Ubadah, dan beliau merupakan ketua kaum Khazraj, dan beliau sebelumnya merupakan seorang yang soleh, tetapi semangat perkaumannya menyebabkan dia berkata kepada Saad: kamu berdusta, Demi Allah. kamu tidak akan membunuhnya (kaummu) dan kamu tidak akan mampu membunuhnya. Lalu anak saudara Saad bin Muaz, iaitu Usaid bin Khudair bangun dan berkata kepada Saad bin Ubadah: Demi Allah, kamulah sebenarnya yang berdusta. Kami pasti akan membunuhnya. Sesungguhnya kamu adalah orang munafiq yang berhujah untuk kaum munafiqin (ini kerana Abdullah bin Ubai adalah dari kalangan kaum Khaazraj). Lalu kaum Aus dan Khazraj saling bangun membantu kaum masing sehingga hampir berlaku peperangan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. pada masa itu berdiri di atas minbar. Dan baginda pun mula menenangkan mereka sehinggalah mereka semua diam, barulah baginda berhenti.
Kesedihan Aisyah
Aisyah berkata: sejak daripada hari itu, air mataku mencurah-curah tidak putus dan aku berjaga sepanjang malam. Akhirnya kedua ibu bapaku berada bersamaku sentiasa. Dan sememangnya aku telah mengangis selama sehari dua malam tak putus dengan air mata dan berjaga sepanjang malam, sehingga mereka berdua menyangka bahawa ia akan merosakkan jantungku. Tatkala mereka berdua berada bersamaku, dan aku pula masih lagi menagis, tiba-tiba datanglah seorang perempuan Ansar meminta izin untuk berjumpaku, lalu aku benarkan dia masuk berjumpaku. Lalu dia masuk dan duduk menangis bersamaku.
Rasulullah s.a.w. Bertanya Aisyah Tentang Cerita Orang Ramai
Ketika itu, tiba-tiba Rasulullah s.a.w. masuk dan baginda memberi salam dan duduk. Sebelum ini, baginda tidak pernah duduk di sisiku sejak tersebarnya fitnah tersebut. Dan sudah berlalu sebulan, tidak ada satu wahyu pun yang turun mengenaiku. Kemudian Rasulullah s.a.w. memulakan kata-katanya dengan pujian kepada Allah dan ucapan syahadah, lalu baginda bersabda: Wahai Aisyah, telah sampai kepadaku berita tentangmu begini-begini. Kalaulah kamu memang tidak melakukannya, nescaya Allah akan membebaskan kamu, dan jika kamu telah melakukan dosa, istighfarlah kepada Allah dan bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya seorang hamba bila dia mengakui dengan dosanya, dan bertaubat memohon keampunan daripada Allah, nescaya Allah akan mengampunkannya.
Jawapan Aisyah Terhadap Soalan Rasulullah s.a.w.
Setelah Rasulullah s.a.w. selesai kata-katanya, air mataku terhenti, dan aku tidak merasakannya walaupun setitik. Aku berkata kepada ayahku (Abu Bakar): jawablah apa yang dikatakan oleh Rasulullah. Dia menjawab: Demi Allah, aku tidak mengetahui apakah yang boleh aku katakan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata kepada ibuku: Jawablah kata-kata Rasulullah s.a.w. Dia juga menjawab perkataan yang sama: Demi Allah, aku tidak mengetahui apakah yang boleh aku katakana kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku sendiri bercakap, sedangkan aku masih lagi seorang pemudi yang mentah dan aku tidaklah mengahafal banyak ayat suci al-Qur’an. Aku berkata: sesungguhnya demi Allah, aku memang dah mengetahui bahawa kamu semua telah mendengar cerita ini, dan cerita ini dah pun berada di jiwa kamu semua, dan kamu semua mempercayainya. Kalaulah aku berkata yang aku ini tidak bersalah –Dan Allah sahaja yang mengetahui bahwa aku tidaklah bersalah- kamu semua tidak akan mempercayaiku. Dan jika aku mengakui -sedangkan Allah mengetahui bahawa aku tidaklah bersalah- tentulah kamu semua mempercayainya. Demi Allah, tidak ada umpama bagiku melainkan seperti perkataan ayah Nabi Yusuf (dalam riwayat yang lain, Aisyah tercari-cari nama ayah Nabi Yusof, iaitu Nabi Yaaqub, tetapi kerana kesedihan yang menimpanya menyebabkan beliau terlupa), iaitu: ( Sabar adalah lebih baik, dan Allah sahaja tempat aku memohon pertolongan daripada apa yang mereka katakan). Lalu aku pun memalingkan mukaku dan aku berbaring di tilamku.
Impian Aisyah
Pada ketika itu, aku yakin bahawa aku tidak bersalah, dan Allah sendiri yang akan menyataka bahawa aku tidak bersalah (sebab tiada siapa lagi selain Allah yang mampu membebaskanku). Tetapi, demi Allah, aku tidak pernah menyangka bahawa Allah akan menurunkan ayat suci al-Qur’an yang akan sentiasa dibaca (sehingga kiamat) dalam urusanku ini. Dan urusanku ini pada diriku adalah sangat kecil (dan tidak perlulah) Allah bercakap dengan wahyu yang akan sentiasa dibaca. Tetapi aku cuma berharap bahawa Rasullah s.a.w. bermimpi dalam tidurnya bahawa Allah menyatakan bahawa aku ini tidak bersalah.
Turunnya Wahyu Membenarkan Aisyah
Aisyah meneruskan lagi ceritanya. Demi Allah pada masa itu, Rasulllah s.a.w masih belum berganjak, dan tidak ada seorang pun yang beredar sehinggalah turunnya wahyu kepada baginda. Lalu nampaklah pada baginda seperti orang yang sangat kuat demamnya sehinggalah keluarlah peluh seperti permata walaupun pada hari yang sangat sejuk, kerana beratnya perkataan yang diwahyukan kepadanya. Setelah hilang keadannya itu, baginda kelihatan terlalu gembira. Dan kalimah pertama yang ducapkannya ialah, wahai Aisyah, bergembiralah, sesungguhnya Allah SWT telahpun membebaskanmu. Lalu ibuku berkata kepadaku: bangunlah kepada Rasulullah (untuk ucapkan terima kasih kepada baginda). Aku menjawab: Demi Allah, aku tidak akan bangun kepadanya (pergi memeluknya), dan aku tidak akan memuji kecuali Allah sahaja (yang telah membebaskanku). Dan Allah telah turunkan ayat “Sesungguhnya segolongan di kalangan kamu yang membawa berita dusta itu[7]…sepuluh ayat semuanya.
Sikap Abu Bakar SetelahTurunnya Wahyu Tentang Kesucian Aisyah
Setelah Allah SWT turunkan ayat yang membebaskanku, Abu Bakar as-Siddiq yang sentiasa memberikan sedekah kepada Mistah kerana dia adalah kerabatnya, dan dia pula seorang yang miskin, berkata: Demi Allah, aku tidak akan memberikan sesuatu pun kepada Mistah setelah apa yang dia katakan kepada Aisyah. Lalu Allah SWT turunkan ayat : “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka mema'afkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Lalu Abu Bakar berkata: Bahkan. Demi Allah, aku sangat suka kalau Allah mengampunkaku. Lalu dia pun meneruskan sedekah yang menjadi kebiasaanya kepada Mistah, dan berkata: Demi Allah, aku tidak akan menghentikan lagi sedekahku ini.
Pandangan Zainab Terhadap Aisyah
Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w. juga pernah bertanya Zainab binti Jahsy tentangku. Baginda bersabda: Wahai Zainab, apakah yang kamu tahu atau nampak tentang Aisyah? Zainab menjawab: wahai Rasulullah, aku menjaga telinga dan mataku. Aku tidaklah mengetahui tentang Aisyah melainkan kebaikan sahaja. Padahal dialah yang sentiasa menyaingi aku di kalangan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. , tetapi beliau (tidak memburukkanku kerana) Allah menjaganya dengan sebab kewarakan yang ada padanya. Tetapi saudarinya iaitu Hamnah tidak menyetujui Zainab (kerana ingin merendahkanku dan menaikkan saudarinya iaitu Zainab), lalu dia binasa (berdosa) bersama-sama dengan orang binasa di kalangan para pendusta itu.
Hadis riwayat Imam Bukhari (4750) daripada Urwah dalam Kitab Tafsir, bab ke 60.
[1] Hadis Ifki adalah satu istilah yang digunakan untuk kisah fitnah terhadap Ummul Mukminin, Saiditina Aisyah r.a. Dan ifki bererti pembohongan yang melampau. Cerita yang saya kemukakan ini adalah terjemahan hadis riwayat Imam Bukhari, dalam Kitab at-Tafsir, bab 60 dalam kitab Sohih Bukhari. Saya cuma meletakkan tajuk-tajuk dan nota kaki (untuk menyenangkan pembacaan). Segala kesilapan penterjemahan (jika ada) adalah tidak disengajakan dan harap diperbetulkan.
[2] Peperangan Bani Mustoaliq, mengikut penerangan Ibnu Hajar al-Asqalani, dan ia terdapat keterangan yang sorih dalam riwayat Ibnu Ishaq. Rujuk, Fathul Bari, jilid 8, m/s585. Peperangan ini berlaku pada bulan syakban tahun kelima atau keenam Hijrah. Rujuk ar-Rahiqul Makhtum.
[3] Para ulamak juga kurang pasti tentang daripada apakah rantai itu dibuat. Ada yang menganggap bahawa ia adalah daripada manik batu Zafari, satu Bandar di Yaman. Ada juga yang menganggap bahawa ia mungkin diperbuat daripada sejenis kayu wangi yang boleh dijadikan kemenyan. Kayu tersebut dijadikan manik-manik rantai mungkin kerana kecantikan warnanya atau kerana kewangiannya. Ada juga riwayat yang mengatakan harga rantai leher itu hanyalah dua belas dirham. Ini menunjukkan bahawa ia bukan manik batu Zafari, kerana kalaulah manik batu Zafari, sudah tentu harganya lebih mahal. Fathul Bari.
[4] Safwan bin Muattal merupakan seorang sahabat yang terbilang, dan antara yang awal memeluk Islam, kerana dia juga pernah menyertai peperangan Khandak. Dia adalah sahabat yang dipuji oleh Rasulullah s.a.w. (sebagaimana yang akan datang dalam hadis ini. Sebab beliau terlewat ialah kerana beliau meminta untuk ditugaskan sebagai orang yang akan memastikan barangan yang tercicir oleh para tentera dipungut oleh beliau. Beliau mati syahid sebagaimaana yang diceritakan oleh Aisyah. Beliau syahid dalam peperangan Armania, pada tahun ke 9 Hijrah, semasa zaman pemerintahan Umar.
[5] Ini kerana Barirah pernah mengisarkan tepung untuk dijadikan roti, dan dia menyuruh Aisyah menjaganya sebentar. Tetapi Aisyah boleh tertidur dan lalai untuk menjaganya, sehingga tepung itu dimakan oleh bebiri. Maksud Barirah ialah, kalaulah Aisyah boleh lalai dalam menjaga tepung tadi, maka lebih-lebih lagilah Aisyah tak terlintas untuk melakukan perzinaan sebagaimana yang dituduh oleh para pendusta itu.
[6] Pujian Rasulullah s.a.w. terhadap Safwan bin al-Muattal. Sudah ditakdirkan bahawa yang dituduh bersekedudukan dengan Aisyah adalah seorang yang terlalu menjauhkan diri daripada perempuan. Beliau pernah berkata bahawa beliau tidak pernah membuka kain yang menutup auarat perempuan samada secara halal atau pun haram. Kerana inilah beliau telah menetak Hassan bin Thabit (penyair Rasulullah) dengan pedangnya kerana beliau juga antara yang termakan dengan fitnah tersebut dan menyebarkannya. Dan Rasulullah meminta supaya Hassan memaafkannya, lalu dia (Sofwan) dilepaskan.
lastly,dikaitkan dengan ayat 11-20 surah an-Nur.

semoga sama-sama dapat sucikan hati melalui kisah ini
agar hati tidak lagi mudah lemah
sekadar perkongsian
-syafa mohamed-


5 comments:

humaira said...

alhamdulillah... syukran syafa... ^^

humaira said...
This comment has been removed by the author.
Puding karamel said...

kelakar.
seorang lelaki baik, iaitu sahabat nasi.
sebaik-baik wanita, ummul mukminin, isteri nabi.
tu pon boleh jadik fitnah.
macamana hari ni?
lelaki perempuan bergaul bebas...??
fitnah bersepah2, malah dipandang cool.
payah

Nur Hafizah said...

Allah sediakan jalan keluar kepada setiap masalah.Yang penting kita terus percaya dan berharap padaNya.

CiNtA iZzAtY said...

tq kerana blog nie bgi smgt balik dari semua kesedihan