Tengah hari itu, cahaya mula menyilau. Tambahan angin sejuk musim luruh bertiup seperti tiada akhirnya. Aku semakin kuat menggenggam tangan dalam poket baju sejuk. Allah sangat hebat, mentarbiyyah jiwa hamba semahuNya, tanpa jemu.
stesen 'subway' sakurayama
seorang obaachan (baca:nenek) yang sangat bongkok tiba-tiba melangkah laju seperti ada sesuatu yang dikejar. Rupanya sesuatu itu adalah 'aku'.
"Awak dari negara mana?"
"Malaysia. Nenek tahu negara tue."
"Aah, tahu tapi nenek tengok muka awak seiras orang jepun. Nenek ingat awak orang sini. Itulah sebab nenek cuba jalan laju nak tengok awak." dan nenek mengukir senyuman lebar di wajahnya sambil memandang tepat ke muka aku. Aku cuba menafikan kata-katanya.
"Takdela nenek. Muka saya tak ada iras muka orang jepun. Sangat jauh bezanya."
"Tapi muka awak sangat cantik dalam 'scarf' ni."
Terdiam dalam senyuman. Aku terus hulurkan lengan aku untuk dipegang nenek.
Destinasi kami tuju sama. Benar-benar ini kebetulan yang disengajakan Tuhan.
---
Ya Allah, tarbiyyah apa yang cuba Kau sampaikan kepada aku sebenarnya.
pejabat pos showa
"Jangan tinggalkan nenek dulu yer habis urusan nanti. Nenek nak ambil nombor telefon dan alamat awak."
Aku mengangguk.
Selesai urusan, aku duduk di kerusi panjang, membuka bungkusan sementara menunggu nenek.
"Awak dapat apa tue?Buku?"
"Oh, tak. Ini buku keagaamaan yang saya beli (al-quran)."
Pandangan nenek menembusi al-Quran.
Kemudian, dengan suara yang sangat perlahan, seolah mahu menangis, nenek memulakan bicara semula.
"Nenek tak pernah jumpa orang yang sangat baik macam awak. Awak angkat barang nenek, awak letak tangan nenek supaya genggam lengan awak, awak tolong nenek naik tangga, awak perlahankan jalan sebab takut nenek tak jalan laju macam awak. Beruntungnya kalau kata nenek ada awak."
Terdiam!
"Suami awak mesti sangat sayang awak kan?Suami awak pun orang jepun?Dia di sini tinggal bersama awak?
Aku tersenyum lebar, selebar-lebarnya kali ini.
"Nek, saya pelajar nek. Belajar di nagoya U."
"Wahhh, awak mesti sangat bijak. Nenek untung jumpa awak. Nenek tak nak berpisah dengan awak. Nenek nak jumpa awak selalu, lagi."
"Yer nek. Hujung minggu nanti, kalau saya tak sibuk, saya melawat nenek yer. Kita kan dah tukar nombor telefon. Nenek boleh telefon saya bila rindu."
Dia mengangguk. Terpancar di wajahnya kesedihan yang amat.
---
Nenek sebenarnya beruntung bukan sebab Tuhan temukan kita tetapi sebenar-benar keberuntungan itu bila Allah masukkan hidayah dalam hati nenek nanti. InshaAllah nek, dengan izin Dia.
stesen 'subway' gokiso
"Meh ikut nenek. Pilih yang mana awak nak. Air, gula-gula. Nenek tak dapat bagi awak apa-apa, tapi nenek nak bagi awak nie, sebagai pembakar semangat awak belajar dan supaya pada setiap kalinya, awak akan ingat nenek."
Air mata aku laju melimpah dari dalam.
Aku biarkan nenek memilih sendiri apa yang dia mahu beli untuk aku walaupun aku tahu semua yang nenek capai, tak boleh di makan. Bukan itu yang penting mungkin tetapi inshaAllah kepuasan memberi itu sampai ke hati nenek.
Sepanjang menunggu tren sampai, nenek genggam tangan aku erat-erat. Sampai masa aku mahu pergi, matanya bersinar-sinar, air mata jernih mengaliri keliling kelopak mata nenek.
Selamat jalan nek:'))
Saat pertama kali aku kenal jalan tarbiyyah,
Aku terus jatuh cinta. Hari-hari tersenyum hati berbunga.
Semoga nanti nenek jugak merasa yang sama.
|